Cuba baca dialog di bawah....
Cuba kamu perhatikan penggunaan penjodoh bilangan bagi perkataan durian...
sepangsa durian
seulas durian
Pada suatu pagi yang indah, di sebuah rumah yang terletak bersebelahan dengan sebidang sawah yang padinya sedang menguning.....
Ibu : Siti, boleh tak Siti tolong ibu hari ini?
Siti : Boleh, tolong apa bu?
Ibu : Tolong belikan ibu seikat serai di Kedai Pak Leman.
Siti : Ibu nak masak apa hari ni?
Ibu : Rasanya ibu nak masak rendang daging. Sudah lama
kita tak makan rendangkan?
Siti : Wah, sedapnya. Tapi tadi Siti nampak ada sebatang
serai dalam peti ais. Tak bolehkah ibu gunakan serai
itu?
Ibu : Boleh tetapi ibu nak masak rendang agak banyak
kerana saudara-mara kita hendak datang ke rumah
sempena cuti sekolah ni. Kalau kita gunakan sebatang
serai tentulah tidak mencukupi. Jadi, jika Siti beli seikat
serai mungkin ada beberapa batang serai dalam ikatan
itu.
Siti : Oh, begitu. Baiklah, ibu. Siti pergi ke kedai sekarang.
Ibu : Berhati-hati, ya.
Baiklah. Apakah yang kamu faham tentang dialog di atas? Ya...tentang penggunaan penjodoh bilangan. Penjodoh bilangan berfungsi....
* menerangkan aspek bilangan sesuatu benda, tempat, hal,
perkara dan manusia.
* digunakan di hadapan kata untuk menguatkan lagi aspek
bilangan.
* ia perlu disesuaikan dengan konteks ayat.
sebiji durian
sepangsa durian
seulas durian
Cuba jawab soalan-soalan di bawah.
1. Emak mengambil _______durian untuk diberikan kepada adik yang gemar makan buah durian.
2. Abang menjumpai ________durian yang gugur di dusun datuk.
3. Ayah meletakkan ________ durian di atas meja untuk diberikan kepada abang apabila dia pulang dari pejabat nanti.
*Penjodoh bilangan bagi perkataan serai.....
sebatang serai
seikat serai
serumpun serai
Cuba jawab soalan-soalan di bawah.
1. Puan Maria membeli ________ serai yang dilonggokkan di atas meja semasa pergi ke pasar tani yang terletak berhampiran dengan rumahnya.
2.Petang semalam, ayah menanam __________ serai di belakang rumah.
3.Ibu memasukkan _________serai ke dalam masakannya agar berbau harum dan bertambah lazat.
*Penjodoh bilangan bagi perkataan pisang....
sebiji pisang
sesikat pisang
setandan pisang
Cuba jawab soalan-soalan di bawah.
1. Pak Dollah memikul ________ pisang yang dibawa dari kebun di belakang rumahnya.
2. Setiap hari, datuk akan makan _______ pisang kerana ia mengandungi banyak khasiat dan dapat membekalkan tenaga.
3. Encik Kamal membeli ________ pisang yang dijual di tepi jalan untuk dimakan semasa dalam perjalanan ke tempat perkelahan.
Inilah sebahagian daripada penggunaan penjodoh bilangan yang perlu difahami oleh semua murid. Penjodoh bilangan yang digunakan mestilah bersesuaian dengan ayat yang dibina. Berikut saya lampirkan beberapa buah buku yang boleh dijadikan panduan murid-murid.
Kredit : http://megawati-tatabahasabahasamalaysia.blogspot.com